25 makanan yang lazat di malaysia
1)Asam Laksa
Asam Laksa adalah mee berasa pedas yang disajikan dengan sup ikan. Ia merupakan salah satu juadah terkenal daripada kalangan kaum Baba dan Nyonya. Baba Nyonya adalah keturunan immigran Cina yang menggabungkan budaya Melayu dan mereka telah mencipta makanan ini yang mempunyai unsur Cina dan Melayu. Makanan ini sangat popular di Malaysia dan anda boleh menikmati makanan ini di mana mana sahaja, terutamanya di serata jalan di negeri Pulau Pinang, salah satu negeri di Malaysia.
Asam Laksa mempunyai campuran ramuan seperti ikan, timun yang dipotong halus, bawang, nanas, cili merah, daun salad, daun kesum dan bunga kantan. Ia dihidang dengan mee tebal berwarna putih dan kuah ikan yang dicampur dengan pes udang untuk manambah rasa. Sesetengah orang mungkin kurang selesa dengan pes ini kerana rasanya yang hanyir.
Asam Laksa versi vegetarian boleh didapati di Be Lohas di KLIA2, Water Lily Restaurant di Kuala Lumpur dan Veggie Planet di Melaka.
2. Rojak
Rojak merupakan juadah salad tradisional yang mengandungi pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran. Biasanya ia dihidang bersama dengan banyak pes udang, walaupun ia mungkin tidak sesuai untuk sesetengah orang yang tidak tahan dengan rasa hanyirnya. Di Malaysia terdapat empat jenis rojak iaitu rojak buah, rojak Penang, rojak sotong kangkung dan rojak India.
Rojak buah biasanya mengandungi hirisan timun, nanas, sengkuang, tauge dan tauhu goreng. Kuah rojak pula diperbuat dengan belacan, air, gula, jus limau nipis, cili dan ditabur dengan kacang tanah yang dikisar.
Rojak Penang agak sama dengan rojak buah, kecuali ditambah dengan ramuan seperti jambu batu, jambu air, mangga dan sotong goreng. Kuah rojak ini pekat seakan karamel.
Rojak sotong kangkung merupakan satu makanan popular di seluruh Malaysia dan boleh didapati di banyak gerai makanan. Rojak ini mengandungi sotong, kangkung, timun, tauhu, kacang, cili dan sos.
Rojak India juga dikenali sebagai rojak mamak atau pasembor, disaji dengan kuah kacang pekat berasa manis pedas. Kandungan rojak ini termasuk kentang rebus, telur rebus, tauge dan timun. Terdapat juga rojak India yang mengandungi tauhu, cucur goreng, udang goreng ataupun sotong.
Rojak adalah juadah harian yang boleh didapati di restoran, kedai mamak, trak makanan malah di gerai tepi jalan sahaja.
3. Roti Canai
Roti Canai adalah sejenis roti leper India yang boleh didapati di kebanyakan kedai mamak di Malaysia. Kedai mamak terkenal dengan makanan India dan dijayakan oleh imigran Tamil Muslim yang telah lama menetap di Malaysia. Roti Canai juga dikenali sebagai ‘roti terbang’ kerana proses lemparan dan pusingan sebelum dimasak. Selain itu, Roti Canai juga dikenali sebagai penkek India. Biasanya Roti Canai dihidang bersama dengan kuah kacang dhal, atau aneka jenis kari di kedai mamak seperti kari ikan, kari ayam, kari kambing dan sebagainya. Ia juga boleh dihidangkan dengan gula pasir yang sesuai kepada individu yang menggemari makanan manis.
Selain itu, terdapat banyak pilihan Roti Canai lain seperti Roti Telur, Roti Tisu yang nipis, roti bawang, roti telur bawang, roti pisang, roti planta yang sering dihidang dengan gula pasir, dan banyak lagi.
4. Nasi Lemak
Nasi Lemak adalah juadah makanan Melayu, dimasak dari beras wangi bersama dengan santan kelapa dan daun pandan. Ia juga digelar sebagai juadah kebangsaan Malaysia dan sangat mudah didapati. Juadah ini juga sangat popular di negara jiran seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand.
Nasi lemak tradisional di Malaysia biasanya mengandungi ikan bilis goreng, sambal tumis, kacang dan telur rebus. Kebanyakan gerai nasi lemak juga menyajikan nasi lemak sambal kerang dengan telur goreng, sambal sotong, ayam goreng, rendang, sambal ikan dan banyak lagi. Jika anda seorang vegetarian, anda tidak perlu risau kerana terdapat banyak restoran seperti Simple Life di Kuala Lumpur dan Yummy Garden di Jalan Ujong, Melaka yang menyajikan nasi lemak vegetarian. Restoran ini menggantikan ikan bilis dengan ikan bilis vegetarian.
5. Chee Cheong Fun
Chee Cheong Fun adalah sejenis makanan mee gelung. Ia merupakan makanan Kantonis dan berasal dari China selatan dan Hong Kong. Di Malaysia dan Singapura, Chee Cheong Fun biasanya dihidang dengan sos soya manis berwarna hitam. Chee Cheong Fun versi Pulau Pinang pula menggunakan pes udang, berwarna hitam, berasa manis dan pekat seperti karamel.
Di Ipoh, satu lagi daerah yang popular dengan makanan di Malaysia, Chee Cheong Fun biasanya dihidang dengan dua cara, kering atau bersos. Versi kering sering dihidangkan dengan bijian, sos soya, bawang goreng, minyak bawang, sos cili dan jeruk cili.Versi bersos pula dihidangkan dengan kuah kari dan cendawan.
Sesetengah lokasi mungkin mempunyai variasi cara penghidangannya. Anda dapat menikmati Chee Cheong Fun di mana-mana jua sekitar Malaysia.
6. Apam Balik
Apam Balik, juga dikenali sebagai ban jian kuih (penkek yang diterbalikkan), adalah sejenis penkek yang leper dan sangat biasa dijumpai di kawasan Asia Tenggara. Ia dijual secara meluas di gerai penjaja di seluruh Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Bahan utama Apam Balik adalah tepung, santan kelapa, air, gula, telur dan soda penaik. Inti tradisional untuk Apam Balik termasuklah kacang yang dikisar dengan gula, kelapa hiris dan jagung manis. Apam Balik telah diisytiharkan sebagai makanan warisan oleh Jabatan Warisan Kebangsaan Malaysia.
7. Mee Kari
Mee Kari adalah juadah yang penuh berperisa dan makanan unik hasil daripada daripada sebatian makanan Cina dan India. Ia sangat mudah didapati di Malaysia dan Singapura. Ramuannya seperti mee kuning atau bihun dengan kuah kari yang pedas yang diadun sempurna dengan santan kelapa, pes cili, tauhu kering, udang, sotong, ayam, kerang dan daun pudina.
8. Mee Hokkien Penang
Mee Hokkien Penang boleh didapati di Malaysia dan Singapura. Juadah ini berasal dari daerah Fujian (Hokkien) di China yang terkenal dengan makanan mee ikan.Mee Hokkian tradisi dihidang dengan kuah pedas berasaskan udang, potongan ayam atau khinzir, sotong, udang, kek ikan, kangkung dan sambal.
Mee Hokkian merupakan juadah yang biasa didapati di Malaysia terutamanya di Pulau Pinang. Kuahnya yang kaya berperisa membuatkan ramai suka makanan ini.
9. Satay
Satay adalah juadah daging yang diperap, kemudian dicucuk dan dibakar. Di Malaysia, Satay dihidang dengan kuah kacang yang diserikan dengan potongan bawang dan timun. Satay juga boleh dibuat daripada potongan daging ayam, daging kambing, daging lembu dan pelbagai lagi. Satay biasanya dibakar dengan api kayu arang.
Satay boleh didapati di medan selera di seluruh Malaysia, di gerai penjaja dan pasar malam. Kini dengan keperluan makanan vegetarian yang semakin tinggi, Satay juga boleh didapati di restoran vegetarian seperti Kechara Oasis dan Beyond Veggie oleh Secret Recipe.
Satay biasanya dimakan bersama dengan ketupat. Ketupat adalah nasi yang dibalut dengan daun kelapa dalam bentuk segi tiga. Ia merupakan makanan ruji bagi masyarakat tempatan dan dijamu sebagai penggantian kepada nasi biasa. Daun kelapa dibuka dan ketupat akan dipotong kecil apabila dihidangkan dengan satay.
10. Lok-Lok
Lok-Lok adalah steamboat versi Cina, dimana makanan akan dicucuk dengan kayu kecil dan direndam ke dalam air mendidih atau sup panas sehingga masak. Kemudian ia boleh dinikmati dengan pelbagai pilihan sos. Biasanya ia dimakan dengan kuah kacang, sos cili atau sos manis untuk menambah rasa.
Lok-Lok boleh didapati di gerai penjaja, medan selera dan di mana mana kawasan ramai orang di bandaraya dan pekan Malaysia. Lok-Lok mengandungi pelbagai ramuan seperti kepah, kerang, usus khinzir, hati khinzir, sosej, bebola ikan, bebola daging, bebola sotong, udang, sayuran, daging vegetarian, cendawan dan aneka juadah yang telah dimasak seperti wantan dan tauhu goreng.
11. Kuey Teow Th’ng
Kuey Teow Th’ng (Kuet Teow Sup) adalah sejenis makanan tradisional masyarakat Cina, iaitu Kuey Teow yang dihidang dalam mangkuk dengan sup ayam atau sup itik. Ramuannya termasuk kek ikan, bebola ikan, hirisan daging ayam atau itik, potongan daun bawang, tauge dan disaji dengan sos cili. Kelazatan juadah tradisional Malaysia ini memang tidak terkata dan terdapat juga versi vegetarian makanan ini.
Jika anda berkunjung ke Malaysia untuk bercuti, anda mesti mencuba Kuey Teow Th’ngyang dikenali dengan kelazatannya di Pulau Pinang.
12. Char Kuew Teow
Char Kuew Teow adalah juadah yang tersohor di dunia yang boleh didapati di Malaysia dan Singapura. Char Kuew Teow (mee leper) digoreng dengan kepanasan tinggi dengan sedikit kicap soya cair, kicap soya pekat, cili, sedikit pes udang, udang, kerang, tauge dan daun kucai. Char Kuew Teow biasanya digoreng bersama dengan telur, potongan sosej, kek ikan, tauge dan lain-lain ramuan. Asalnya Char Kuew Teow ini digoreng dengan lemak khinzir dan juga kruton rangup lemak khinzir. Char Kuew Teow dihidangkan di atas daun pisang di dalam pinggan untuk meningkatkan lagi aromanya. Versi vegetarian yang enak juga boleh dibuat kerana kebanyakan penjaja akan cuba memuaskan hati pelanggannya.
13. Mee Wanton
Mee Wanton adalah satu juadah Kantonis yang berasal dari Guangzhou, China. Ia juga dihidangkan secara meluas di negara seperti Hong Kong, Singapura, Malaysia dan Thailand. Terdapat dua versi Mee Wanton yang biasa didapati. Versi yang pertama, mee dihidangkan dengan semangkuk sup ayam, dan versi yang kedua pula, mee dihidangkan dengan sos soya hitam. Juadah tambahan termasuklah daun sawi, wantan, daging khinzir bakar lima rasa dan daun bawang. Mee Wantan boleh didapati di kebanyakan restoran dan medan selera di Malaysia.
14. Otak-Otak
Otak-Otak adalah makanan yang berasal dari Indonesia, tetapi kami juga berpeluang untuk menjamu makanan ini di negara lain seperti Malaysia dan Singapura. Makanan ini digelar sebagai ‘kerana isinya bertekstur lembut dan lembik.
Otak-Otak biasanya dimakan bersama dengan nasi. Ramuan utamanya adalah ikan, rempah ratus dan daun kucai yang dibalut dalam daun pisang. Anda dapat menikmati makanan ini di restoran yang popular seperti Nyonya Colours dan Lorong Seratus Tahun. Versi vegetarian yang dibuat daripada daging vegetarian juga boleh didapati.
15. Bihun Goreng Ekonomi
Bihun Goreng Ekonomi adalah satu juadah yang ringkas di Malaysia dan Singapura, ia biasanya disaji sebagai sarapan. Ia sememangnya ekonomi dengan ramuan tambahan yang ringkas seperti kobis dan telor.
Bihun Goreng Ekonomi nampak ringkas tetapi sedap. Terdapat juga pelbagai juadah yang boleh dinikmati bersama Bihun Goreng Ekonomi seperti kari sayur, sambal kacang panjang, kek ikan, kobis dan telur goreng.
16. Mee Goreng Mamak
Mee Goreng mamak, satu lagi juadah yang ringkas dan enak, boleh didapati di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Juadah ini biasanya dimasak bersama dengan ikan, ayam atau udang, cili, sawi, kobis, tomato, telur, bawang merah dan bawang putih. Anda boleh manikmati juadah ini kedai mamak di serata Malaysia.
17. Nasi Ekonomi
Nasi Ekonomi juga dikenali sebagai nasi campur dan boleh dinikmati di Malaysia, Singapura dan Thailand. Nasi Campur tidak merujuk kepada lauk-pauk yang khas dan boleh didapati di banyak gerai makanan. Anda boleh memilih mana-mana lauk dari 10 hingga 20 jenis lauk-lauk, bergantung kepada gerai makanan tersebut. Kebanyakan lauk-pauk Nasi Ekonomi merupakan makanan Cina. Nasi Ekonomi biasanya murah, sebab itu ia juga dinamakan sebagai Nasi Ekonomi.
18. Bak Kut Teh
Bak Kut Teh adalah satu juadah Teo Chew terkenal yang berasal dari China. Ia juga didapati di Malaysia, Singapura, Sumatera, Thailand selatan dan Indonesia. Bak Kut Teh diterjemahkan sebagai teh tulang khinzir. Ia direbus dengan herba Cina, bawang putih, bunga lawang, kayu manis, cendawan, choi-sum, kulit tauhu dan tauhu kering. Biasanya dihidangkan dengan nasi kukus dan cakoi dicelup dalam sup Bak Kut Teh. Banyak restoran di Malaysia, terutamanya di Klang dan Kuala Lumpur terkenal dengan Bak Kut Teh.
19. Mee Hokkien KL
Mee Hokkien KL adalah Mee unik berwarna hitam dari Kuala Lumpur yang digoreng dengan api arang kayu. Mee ini digoreng dengan lemak khinzir, bawang putih, daging khinzir, hati khinzir, udang, sotong dan kobis. Stok perisa akan ditambah perlahan-lahan ketika proses menggoreng agar mee boleh menyerap perisa dengan perlahan, memberikan tekstur pekat kepada juadah ini. Kicap soya yang banyak juga akan diadun ke dalam juadah ini.
20. Nasi Kandar
Nasi kandar adalah juadah utara popular berasal dari Pulau Pinang. Ia mengandungi nasi kukus wangi yang disiram dengan pelbagai jenis kari dan beberapa jenis lauk tambahan. Nasi Kandar juga boleh dijamu bersama ayam goreng, rendang, kambing, ikan goreng, udang goreng, sotong goreng, daging lembu dan pelbagai lagi. Menu vegetarian biasanya mengandungi terung, okra, ulam dan peria goreng. Kepelbagaian jenis kari dan lauk-pauk membuatkan Nasi Kandar begini kaya dan unik rasanya.
21. Nasi Dagang
Nasi Dagang adalah makanan Malaysia dan Thailand Selatan. Ia dihidang dengan nasi lemak kukus yang dimasak dengan santan kelapa dan biji halba, memberikan aroma unik kepada nasinya. Lain-lain ramuan untuk dinikmati bersama nasi adalah kari ikan, telur rebus, jeruk sayuran dan ayam atau rendang daging. Makanan ini boleh dinikmati di sepanjang Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan juga Thailand Selatan.
22. Nasi Briyani
Nasi Briyani adalah nasi campur India yang dimasak dengan beras basmathi diadun dengan pelbagai jenis rempah ratus, yogurt, daging dan sayuran. Ramuan dan rempah yang mungkin digunakan termasuklah buah pala, lada kering, bunga cengkih, minyak sapi, buah pelaga, daun bay, kayu manis, ketumbar, daun pudina, halia, bawang dan bawang putih.
Terdapat pelbagai jenis Nasi Briyani seperi briyani cendawan, briyani daging dan briyani sayuran. Kebanyakan juadah ini boleh didapati di restoran mamak atau restoran India di seluruh Malaysia.
23. Cendol
Cendol adalah makanan pencuci mulut yang berasal dari Indonesia. Ramuannya termasuk santan kelapa, jeli hijau yang panjang yang diperbuat daripada tepung beras dan pewarna hijau yang diperbuat daripada daun pandan, ais batu yang dikisar dan gula melaka.
Cendol biasanya boleh didapati di seluruh Malaysia. Sekarang is juga dihidangkan dengan aneka perisa tambahan seperti kacang merah, cincau, biji jagung dan nasi pulut. Cara pemakanan baru cendol juga disajikan dengan isi durian dan nangka.
24. Ais Kacang
Ais Kacang adalah satu juadah pencuci mulut yang popular di Malaysia. Tradisionalnya, Ais Kacang dibuat daripada ais yang dikisar dan dicampur dengan kacang merah. Namun kini, ramuan Ais Kacang juga dihidang dengan pelbagai jenis bahan seperti buah-buahan yang mambuatkannya berwarna-warni.
Biasanya ia dihidangkan dengan biji sawit, kacang merah, jagung manis, cincau, agar-agar, kacang dan aiskrim. Tambahan terakhir yang melengkapkan juadah ini adalah susu pekat, susu sejat dan/atau santan kelapa yang dituang ke atas timbunan ais yang dikisar beserta dengan sedikit sirap ros. Terdapat pelbagai versi Ais Kacang yang boleh didapati di serata Malaysia, dan ada yang menggantikan santan kelapa dengan gula Melaka.
25. Durian
Durian merupakan buah-buahan yang sangat popular di Asia Tenggara. Durian yang begitu terkenal dengan bau unik dan kuatnya, dengan tekstur yang lembut juga digelar sebagai Raja Buah. Kulitnya tebal berduri, berwarna hijau dan tidak boleh dimakan. Bijinya dilitupi oleh isi kekuningan bertekstur kastard dan boleh dimakan.
Disebabkan oleh baunya yang kuat, Durian tidak dibenarkan untuk dihidangkan di restoran atau hotel tertentu. Ada yang menggemarinya, ada yang tidak menggemarinya, itulah Durian.
0 comments:
Post a Comment